Thank you Murai.com!.
http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=3966&c=1&s=1
Teks oleh Ellyna Ali 
KUALA LUMPUR, 23 APRIL 2009: Bagaikan serba tak kena Aaron Aziz apabila dipuji berkali-kali oleh Rosyam Nor yang menganggap dia antara aktor pelapis tanah air yang memiliki imej hero Melayu sejati serta penuh maskulin.
Pujian itu diberikan Rosyam apabila memperkatakan tentang drama siri 40 episod, Rahsia Hati lakonan Aaron yang ke udara di Astro Prima bermula hari ini, 23 April.  Rahsia Hati terbitan syarikat produksi Rosyam, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ditayangkan di Astro Prima bermula hari ini, 23 April. Drama ini ke udara setiap Khamis, jam 10 malam.
Selain Aaron, barisan pelakon lain yang turut menjayakan drama yang sarat dengan konflik air mata itu adalah Arash Mohd, Rita Rudaini, Mohd Azlan Kamiran, Hafizuddin Fadzil, Ifa Raziah, Watie Elite, Rosnah Johari dan Nurul Ab Wahab serta Afian Giman.
“Sebenarnya saya rasa terkejut dan terharu apabila dengar Rosyam cakap begitu pada diri saya. Terasa makin berat pula tanggungjawab saya selepas ini dan kalau boleh saya buat yang lebih terbaik lagi serta tidak mahu kecewakan Rosyam.
“Saya harap tidak akan ada benda-benda yang tidak elok dikaitkan dengan saya terutama kontroversi panas. Kalau boleh saya mahu cerita yang positif saja.
“Alhamdulillah, setakat ini, nampaknya saya masih boleh bertahan dan teruskan kerjaya saya seperti biasa. Mujurlah saya sudah berumahtangga dan mempunyai 2 anak. Rasanya itulah yang menjauhkan diri saya daripada kontroversi hangat. Kalau nak buat apa-apa, saya sentiasa ingat anak dan isteri dulu. Yang penting saya kena kerja keras sebab saya banyak tanggungan di Malaysia dan Singapura,” katanya kepada murai.com.my.
Tidak dinafikan bahawa ada segelintir yang menganggap bahawa dia cepat meraih populariti dalam bidang lakonan selepas melakukan penghijrahan dari Singapura ke Malaysia.
“Tetapi mereka langsung tidak tahu pergorbanan serta susah-payah yang terpaksa saya lalui. Bagi rakan-rakan di Singapura, saya dianggap sudah berjaya di Malaysia. Hakikatnya, saya tidak rasa begitu kerana semua ini baru permulaan.
“Nasihat yang saya berikan kepada mereka cuma satu. Semuanya itu terletak kepada niat kita. Kalau sekadar hendak glamour dan popular saja, semua itu tidak akan membawa kita ke mana. Bagi saya kerjaya lakonan adalah kerjaya cari makan dan perlu dilakukan dengan serius. Dan saya mahu orang kenal saya sebab lakonan,” katanya Aaron.
Loghat Singapura masih tebal
Sambung Aaron lagi, walaupun sudah menetap di Malaysia, loghat Melayu-Singapura yang dituturkannya itu masih tebal.
l”Biasalah tu sebab saya memang dari sana. Waktu saya berlakon dalam drama Bulan Bertemu Matahari di TV1 tidak lama dulu, pengarah Erma Fatima cakap dia memang suka dengan lakonan saya tapi dia mahu sangat kikis loghat Melayu Singapura saya itu.
“Sebenarnya kalau boleh, saya nak juga watak sebagai pemuda Kelantan, Sabah atau Kedah. Setidak-tidaknya ia mampu mencabar lagi penguasaan saya dalam loghat lain.
“Dulu, ada juga tawaran yang memerlukan saya bercakap dalam loghat Sarawak. Tapi saya tidak berani ambil kerana shootingnya perlu dilakukan dengan segera. Saya hanya akan berani ambil kalau saya diberikan tempoh beberapa bulan untuk menguasainya loghat itu bersama sedikit latihan,” katanya.
Kini, sesudah melengkapkan masa bagi drama bersiri serta 3 telemovie termasuklah Oh Ibu dan Hang Tuah, kontrak Aaron bersama Astro masih lagi disambung untuk tempoh setahun.
“Tetapi kali ini, saya meminta Astro mengurangkan tempoh jam untuk drama bersiri dan sebagai ganti mereka menambahkan jumlah telemovie yang perlu saya buat. Saya minta begitu sebab saya perlukan ruang untuk berehat.
“Rasa macam tak bernafas pula apabila berkerja secara berterusan selama 6 bulan tanpa henti. Bayangkanlah untuk Rahsia Hati saja saya terbabit sebanyak 40 episod. Tak pernah saya buat drama yang begitu panjang tapi jadual kerja saya di bawah Astro lebih tersusun.
“Saya juga teringin berlakon dengan Nasha Aziz dan Umie Aida,” katanya yang kini menunggu 3 filem lakonannya, Bohsia, Dia Datang dan Pisau Cukur ditayangkan di pawagam.